My QLicK3RZZZ!!!!

Wednesday, November 9, 2011

Ceritera indah Jambori Komander Kesatria 2011

Assalamualaikum & salam 1 Malaysia buat semua... Pertama sekali, saya ingin memohon ampun & maaf kepada semua kerana dah lama saya tak update entry terbaru di blog saya ini.. Maklum sajalah, jadual saya memang terlalu padat sepanjang semester 3 yang lalu... Alhamdulillah... Saya mempunyai waktu terluang untuk berkongsi cerita menarik sepanjang cuti semester kali ini... Berbanding rakan – rakan saya yang lain, saya hanya mempunyai cuti sekitar 3 minggu sahaja kerana pada awal cuti semester yang lalu, saya terlibat dengan latihan untuk menghadapi Jambori Komander Kesatria 2011 yang berlangsung pada 26 – 30 Oktober 2011 di UiTM Kuala Pilah, Negeri Sembilan...Entry kali ini, saya ingin berkongsi cerita menarik sepanjang saya menghadapi Jambori yang lalu bersama para Komander Kesatria dari seluruh kampus UiTM...

UiTM Kuala Pilah, Negeri Sembilan menjadi tuan rumah Jambori kali ini...

26 Oktober 2011 ( Rabu )

Kami bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ( KIA ) sekitar jam 10.30 pagi... Penerbangan kami menuju ke LCCT adalah pada jam 1.55 tgh hari... Ketika itu, kami hampir sahaja penerbangan kami kerana kami mempunyai sedikit masalah tentang ‘luggage’ di kaunter ‘drop-in luggage’... Alhamdulillah.. Kami berjaya juga menaiki ‘flight’ kami tepat pada waktu yang ditetapkan... Kami mendarat di LCCT pada sekitar jam 3.35 petang... Setibanya kami di sana, bas dari UiTM Negeri Sembilan sudah tiba untuk membawa kami ke kampus mereka... Penolong Ketua Unit Kokurikulum UiTM Negeri Sembilan, En. Jimmy & Ketua Urusetia Jambori Komander Kesatria 2011, Komander Syazwan turut serta untuk memberi penerangan tentang perjalanan kami menuju ke kampus UiTM Kuala Pilah...

Kami tiba di UiTM Kuala Pilah pada sekitar jam 8.00 malam.. Pada waktu itu, kami tak mempunyai banyak waktu kerana taklimat rasmi tentang perjalanan Jambori kali ini bermula pada jam 8.30 malam... Selepas kami selesai menyimpan barang – barang kami di bilik penginapan yang disediakan, kami terus bergegas ke Dewan Seminar untuk mendengar taklimat... Pada waktu itu, kami menerima kejutan terbesar, iaitu Pertandingan Kawad Kaki akan diadakan pada keesokan harinya ( 27 Oktober 2011, Khamis ) dan kampus UiTM Sarawak hanya dimaklumkan tentang perkara itu pada waktu itu juga.. Selepas selesai taklimat, kami terus bergegas ke Padang Kawad UiTM Kuala Pilah untuk mengadakan latihan terakhir.. Namun, jujur saya katakan, pada waktu itu, kami tak dapat memberikan yang terbaik sepanjang latihan terakhir kerana masing – masing kepenatan mengharungi perjalanan yang panjang menuju ke kampus Kuala Pilah... Saya sendiri tidak dapat memberikan 100% persembahan terbaik sepanjang waktu itu... Selepas latihan terakhir tersebut, kami terus pulang ke bilik penginapan masing – masing untuk berehat sebelum menghadapi pertandingan yang mencabar pada keesokannya...

27 Oktober 2011 ( Khamis )

Perjuangan pertama kami bermula pada hari tersebut.. Kami menghadapi Pertandingan Kawad Kaki pada pagi tersebut... Kami merupakan kontinjen ke-8 yang melakukan persembahan kawad kaki di hadapan para juri yang terdiri daripada pegawai 1 Briged... Saya sendiri pada waktu itu, memang gementar kerana sudah lama saya tak kawad kaki bagi pertandingan yang besar di khalayak ramai... Namun, saya sentiasa mengingati sepanjang pertandingan tersebut kerana inilah kali pertama saya menyertai pertandingan kawad kaki di peringkat tertinggi... Pencapaian tertinggi sebelum ini hanyalah mewakili peringkat sekolah sahaja... Kali ini, saya sudah mewakili bagi kampus UiTM Sarawak... Tambahan pula, kami semua dinilai oleh pihak Tentera, di mana sememangnya mereka lebih arif tentang hal – hal berkaitan kawad kaki ini... Alhamdulillah... Kami berjaya melakukan yang terbaik sepanjang persembahan kami diketuai oleh ketua platun kami , iaitu Komander Muda ( KM ) Syazmi bin Alias... Walaupun kami tidak mempunyai banyak masa untuk menyesuaikan diri dengan ‘venue’ bagi acara tersebut, tetapi kami telah melakukan sehabis baik... Sekalung tahniah buat semua rakan – rakan komander UiTM Sarawak yang lain di atas komitmen yang diberikan...

Tiba giliran kontingen UiTM Sarawak untuk melangakh ke Gelanggang Kawad Kaki...
Selepas pertandingan Kawad Kaki....
Pada sesi petang, semua para komander seluruh kampus UiTM terlibat untuk raptai Perasmian Jambori Komander Kesatria 2011 yang diadakan pada pagi keesokan harinya ( 28 Oktober 2011, Jumaat )... Pada waktu itu, kami semua terpaksa berhadapan dengan cuaca panas terik yang boleh saya katakan sememangnya itu merupakan bagaimana cuaca panas terik bagi kawasan Semenanjung Malaysia... Namun bagi rakan – rakan komander yang lain terutama dari Sabah & Sarawak, mereka menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan cuaca sedemikian kerana keadaan cuaca di kawasan sana tidak begitu panas berbanding apa yang berlaku ketika itu di UiTM Kuala Pilah... Selesai sesi raptai tersebut, pada malamnya, kami menghadiri ceramah tentang Ketuanan Melayu & terus berehat di bilik penginapan masing – masing selepas selesai ceramah tersebut untuk menghadapi hari seterusnya...

28 Oktober 2011 ( Jumaat )

Perasmian Jambori Komander Kesatria 2011 telah selamat disempurnakan pada pagi hari tersebut, di mana perasmian tersebut dilaksanakan oleh YAB Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar & Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah, Dato Hassan Malek... Antara yang menarik sepanjang perasmian tersebut ialah pertunjukkan pancaragam oleh Kontingen Brass Band UiTM Shah Alam, pesembahan Tempur Tanpa Senjata dari para komander UiTM Pulau Pinang & persembahan tarian tradisional oleh komander UiTM Dungun, Terengganu...

Sekitar Majlis Perasmian Jambori Komander Kesatria 2011...
Selepas sembahyang Jumaat, pertandingan Extreme Outdoor Quest ( EOQ ) diadakan pada sekitar jam 3.00 ptg.... Saya turut menyertai acara tersebut sebagai peserta simpanan... Walaupun kami ketinggalan agak jauh selepas larian 10 km pertama oleh kumpulan pertama peserta larian, tetapi kami berjaya mengejar kembali pasukan di hadapan melalui disiplin berbasikal sepanjang 35 km... Pasukan berbasikal kami yang diketuai oleh Komander Muda ( KM ) Ehlid bersama KM Hugo, Komander Rendah Kanan ( KRK ) Ismail & Komander Rendah Muda ( KRM ) Shahfandy berjaya memintas 5 pasukan di hadapan... Namun sayangnya, pertandingan tersebut terpaksa dihentikan akibat cuaca yang tidak mengizinkan & begitu berbahaya untuk diteruskan... Para komander lain turut memuji kemampuan pelumba basikal pasukan kami kerana keupayaan fizikal yang ditunjukkan oleh para pelumba basikal kami berada pada tahap yang tertinggi.. Kalian memang terbaik!!!

Barisan pelumba basikal UiTM Sarawak bagi acara EOQ....
Pada sesi malam, kami menghadiri forum yang bertajuk “Komander Kesatria Menjana Transformasi Negara”... Tumpuan sebenar sepanjang forum tersebut adalah panel nya, iaitu sutradara yang terkenal melalui filem arahan beliau seperti ‘Jangan Pandang Belakang’, ‘Adnan Sempit’ serta yang terbaru, ‘Hantu Bonceng’, iaitu En. Ahmad Idham... Pada awalnya, saya sendiri tertanya – tanya mengapa beliau dijemput bagi forum tersebut.. Rupa – rupanya beliau merupakan Alumni Komander Kesatria, di mana beliau pernah memegang pangkat Komander Kanan ( KK ) sewaktu beliau menjadi pelajar di UiTM Arau, Perlis bagi jurusan Diploma Perakaunan... Beliau menceritakan pengalaman beliau sebagai seorang komander & pesanan beliau untuk semua para komander... Beliau memberitahu bahawa sebagai seorang komander, kita harus berbangga dengan jawatan sebagai seorang komander kerana ia merupakan pencapaian yang tidak semua orang miliki... Namun, ia harus dibuktikan dengan pencapaian yang boleh dijadikan contoh & teladan untuk semua... Pesanan beliau menjadi pegangan untuk saya agar saya dapat menjadi insan berkaliber seperti beliau...

Ahmad Idham...
29 Oktober 2011 ( Sabtu )

Seawal jam 6.45 pagi, semua kontingen setiap kampus bergerak ke Kem Tentera Seremban, Negeri Sembilan bagi acara seterusnya, iaitu Lintas Halangan... Sepanjang acara tersebut, saya berada di ‘checkpoint’ bagi halangan tembok 12 kaki... Saya berpeluang melihat pelbagai skill & teknik bagi melepasi halangan tersebut... Kekurangan dari segi teknik menjadi salah satu faktor mengapa kami tidak mencatat masa yang baik bagi acara tersebut... Namun secara keseluruhannya, kami telah melakukan yang terbaik bagi acara tersebut...

Aksi para komander di halangan Tembok 12 Kaki...
Pada sesi petang, acara Operasi Khidmat Masyarakat ( OPKIM ) telah diadakan... Namun, saya bersama beberapa komander yang lain tidak turut serta kerana kami terlibat untuk persiapan terakhir bagi persembahan koir untuk bagi Pertandingan Koir pada sesi malam... Kami melakukan beberapa persiapan terakhir serta perubahan sedikit sebelum menghadapi pertandingan tersebut...

Gambar kontingen UiTM Sarawak & UiTM Shah Alam selepas tamat OPKIM...
Tiba pada sesi malam, Majlis Penutupan Jambori Komander Kesatria 2011 diadakan beserta Pertandingan Koir... Saya diamanahkan sebagai konduktor koir bagi kontingen UiTM Sarawak... Pada waktu itu, saya sendiri tidak meletakkan sebarang tekanan kepada diri saya kerana pada ketika itu, saya hanya ingin melakukan persembahan yang terbaik & menghiburkan untuk seluruh kampus yang lain... Selepas selesai persembahan kami, kami semua berpuas hati kerana kami berjaya menghiburkan semua penonton yang hadir kerana kami sendiri tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk melakukan persiapan yang terbaik bagi pertandingan koir tersebut... Selepas selesai acara penutup tersebut, saya sempat berborak – borak bersama para komander kampus lain & bertukar – tukar nombor telefon.. Inilah salah satu objektif bagi Jambori kali ini, iaitu dapat mengeratkan ukhuwah sesama para komander bagi seluruh kampus... Alhamdulillah... Jambori kali ini berjaya meninggalkan impak yang cukup berkesan buat semua para komander yang menyertai Jambori kali ini...

Sebelum pertandingan koir...
30 Oktober 2011 ( Ahad )

Hari terakhir bagi saya serta para komander yang lain... Begitu pantas masa berlalu sehingga tidak terasa berakhir sudah Jambori Komander Kesatria bagi edisi 2011... Sebelum saya pulang, saya sempat memberikan ole-ole buah tangan dari Sarawak kepada para komander yang sempat saya temui sebelum mereka pulang... Saya juga mengucapkan selamat tinggal kepada rakan seperjuangan saya dari UiTM Sarawak sebelum mereka pergi membuat lawatan serta jalan – jalan di kawasan sekitar Negeri Sembilan & Melaka...

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih terutama kepada Ketua Unit Kokurikulum UiTM Sarawak, En. Rasli Baki & Jurulatih Kesatria UiTM Sarawak, En. Ramie Jaritan kerana memberi peluang kepada saya untuk menyertai Jambori kali ini... Tidak dilupakan kepada seluruh anggota kontingen UiTM Sarawak yang melalui saat suka duka sepnjang Jambori kali ini... InsyaALLAH... Tahun depan kita lakukan yang lebih baik untuk edisi akan datang... Sekalung tahniah & terima kasih juga untuk pihak urusetia Jambori Komander Kesatria 2011 yang terdiri daripada para komander UiTM Negeri Sembilan kerana telah melakukan tugas dengan baik bagi melancarkan aturcara perjalanan majlis bagi Jambori kali ini... Akhir sekali, terima kasih buat semua para komander dari seluruh kampus UiTM yang menyertai Jambori kali ini kerana dapat berkenalan dengan anda semua... Walaupun hanya seketika, tetapi pertemuan ini amat bermakna buat diri saya...

Nampaknya itu sahaja coretan saya kali ini... Moga kita bertemu lagi pada entry yang seterusnya... di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan “SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA” buat semua.. Hayati erti pengorbanan sebenar & jadikan pengorbanan Nabi Ibrahim a.s & Nabi Ismail a.s sebagai teladan untuk kita semua... Ceria – ceria selalu... Sekian.. Wassalam... (^_^)